Yang cepat, yang tepat. (1)
Banyak benda dalam dunia ini, kita lebih senang jika ia berlaku dengan cepat.
Beli mee segera, tuang air panas, tunggu 3 minit, terus boleh makan.
Atau sepaket Milo 3 dalam 1, tuang isi dalam cawan, masuk air panas, kacau-kacau, sudah siap boleh diminum. Mahu lagi syok, tambah ketul-ketul ais. Memang nyaman.
Kita juga lebih berkenan dengan restoren mamak berbanding restoren melayu. Pertama-tamanya kerana mamak pantas melayan kita dan pantas pula menghidang makanan. Kas-kas atau enaknya kari dal mungkin memberi kesan tetapi yang paling membezakan antara restoren melayu dan mamak adalah kelajuan servis.
Kita sudah diasuh dan dibasuh untuk hidup pantas-pantas serta merasa cocok dengan cara hidup begitu.
Saya percaya pembudayaan segera ini memberi kesan yang sangat penting kepada perniagaan. Masa depan perniagaan ada pada yang cepat-cepat dan segera. Yang lambat macam siput sedut, bolehlah bankrap dahulu.
Satu isu ‘suam-suam kuku’ yang sibuk dibincangkan akhbar melayu dua tiga hari ini adalah soal makanan segera. Katanya tabiat makanan segera adalah sama bahaya dengan tabiat menghisap rokok.
Usah ditanya kenapa isu ini tiba-tiba sahaja boleh timbul dalam akhbar. Memang kerja akhbar mencari isu dan memanaskan benda yang pada pandangan mata kita sejuk beku dan tiada bermakna. Atau kita fikir: itu sudah basi.
Akhbar riuh-rendah ‘mendedahkan’ bahayanya makanan segera dengan menakut-nakutkan pengguna dengan dua istilah paling terkenal dalam dunia makanan; kolestrol dan kalori. Makanan segera tinggi kolestrol dan tinggi pula kalori.
Saya tidak punya hujah untuk menolak itu walaupun kadang-kadang saya masih makan makanan segera. Saudara tidak perlu menegakkan benang yang basah kalau saudara tahu ia tidak akan berdiri. Kalau ada sedikit hujah, mungkin boleh dicuba. Tapi ia masih tidak berbaloi.
Ada banyak cadangan yang diberi untuk mengurangkan tabiat makanan segera ini. Yang paling singkat adalah dengan ‘mengharamkan’ pengiklanan makanan segera di media massa.
Saya guna perkataan ‘singkat’ kerana ia paling cepat boleh dibuat oleh pihak berkuasa. Kedua, orang yang mengharap bahawa akan ada penurunan mendadak kerana makanan segera sudah tidak diiklankan lagi di media massa tentu punya pemikiran yang singkat.
Ada banyak sisi dalam sesuatu perkara. Merumuskan satu hal dengan satu sebab, tentu tidak cukup. Restoren makanan segera pasti cedera jika produk terbaru mereka tidak diiklankan, tetapi belum tentu mereka ‘mati’.
Semakin kita menghargai kepantasan dan kecepatan, kedai makanan segera tentu sahaja menjadi pilihan yang terbaik untuk kita. Saya tidak nampak masa depan yang cerah jika kita mengambil pendekatan ‘mengharamkan’.
Sesuai dengan tabiat baru, kita juga akan ada gaya hidup yang baru. Kita akan menggunakan dan menghasilkan hal-hal yang baru. Oleh sebab ini zaman teknologi dan komputer, mahu tidak mahu internet itu perlu dipelajari. Ramai daripada kita tidak mahu menggunakan internert kerana marahkan ponografi.
Itu tidak betul. Dan bagi tiap-tiap ciptaan manusia, tentu ada bahagian yang kurang.
Saya percaya cabaran kita sekarang adalah penghasilan makanan segera yang berkualiti dan berkhasiat. Masalah kita sekarang adalah kualiti dan khasiat makanan segera, bukan kepantasan penyediaannya.
Kepantasan itu bonus. Yang mahu dimusnahkan sebenarnya adalah lemak-lemak yang berlebihan.
Jangan kerana marahkan pepijat, habis kelambu dibakar. Bunuh pepijat yang mengganggu. Kelambu biarlah di situ. Bukan dia yang berdosa.
1 Comments:
ada ya makanan segera yang berkualiti dan berkhasiat? ha'ah kan, patut diharamkan mee segera, bukan makanan segera. itu kesnya.
mm.. terima kasih kembali menulis. dah lama tunggu,nak² bila pakdi dah hilang taring :p
Post a Comment
<< Home